DAP dakwa kerajaan membazir belanja RM20 juta untuk PPPM

OLEH MOHD FARHAN DARWIS September 24, 2013
DAP hari ini mempersoalkan tindakan Kementerian Pendidikan menggunakan khidmat firma pakar runding dalam penyediaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015-2025.

Firma pakar runding McKinsey & Co dikatakan menerima bayaran sebanyak RM20 juta bagi khidmat mereka.

"McKinsey sebenarnya hanya firma pakar runding dalam pengurusan am dan sebenarnya bukan pakar dalam bidang pendidikan," kata Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

 Beliau berkata, bayaran untuk firma berkenaan bercanggah dengan 11 "Anjakan" dalam PPPM iaitu "Memaksimumkan Kebertinjauanan Murid bagi Setiap Ringgit."
"Duit itu sebenarnya boleh digunakan untuk membina empat sekolah baru dengan kos RM5 juta sebuah, atau pun membina makmal sains baru," katanya.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari yang turut serta dalam sidang media itu berkata, peranan firma itu juga tidak dinyatakan dalam buku PPPM.
"Terdapat begitu ramai pegawai dalam Kementerian Pendidikan dan jabatan kerajaan lain, dokumen PPPM sendiri menyenarai nama 20 individu berkaliber.
"Mengapakah kerajaan tidak memilih untuk menggunakan kepakaran dan tenaga kerja dalam Kementerian dan Pemandu untuk menyediakan pelan berkenaan,"katanya.

Kedua-dua pemimpin muda DAP itu mendakwa pembayaran kepada firma berkenaan dibuat melalui dua fasa iaitu RM4,705,400 bagi fasa pertama, manakala RM15,860,000 dibayar bagi fasa kedua. - 24 September, 2013.
The Malaysian Insider

Syarikat Pengurusan PSY Nafi Artis Mereka Dibayar Kerajaan Malaysia

Syarikat Pengurusan PSY Nafi Artis Mereka Dibayar Kerajaan Malaysia


KUALA LUMPUR – Scooter Braun Projects, syarikat pengurusan bintang popular Korea Selatan Psy, yang dikenali dunia dengan lagunya ‘Gangnam Style’, hari ini menyatakan bahawa mereka tidak pernah diminta atau dibayar oleh kerajaan Malaysia untuk persembahan penyanyi itu di Pulau Pinang kelmarin.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan kepada Bernama hari ini, pengurusan itu menegaskan bahawa berita dan artikel yang tersebar dalam Internet, yang mendakwa sebaliknya, adalah anggapan semata-mata dan ternyata tidak benar.
“Scooter Braun Projects ingin menegaskan bahawa kami tidak pernah diminta atau dibayar oleh kerajaan Malaysia untuk persembahan artis itu di Pulau Pinang, Malaysia baru-baru ini,” menurut kenyataan itu.
Pengurusan itu turut menafikan dakwaan di beberapa blog kononnya kerajaan Malaysia menaja persembahan artis itu pada Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 1Malaysia di Pulau Pinang, Isnin lepas.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan bahawa persembahan Psy di Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 1Malaysia itu tidak melibatkan wang rakyat.
Beliau juga berkata orang ramai tidak dikenakan apa-apa bayaran untuk menonton persembahan artis yang turut mempopularkan gaya tarian lagunya itu.
Persembahan Psy ialah kemuncak majlis yang dihadiri ribuan orang anjuran Barisan Nasional Pulau Pinang, di Han Chiang College. – Bernama