“Memang kita ni mangsa keadaan. Kita ni cuci tahi banyak, jadi bila kita dah bersihkan cantik-cantik, jadi balik tahi.”
Itulah kenyataan yang dilontarkan oleh bekas Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi dalam sebuah sidang media bagi menjelaskan berkenaan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengisytiharkan Mesyuarat Agung ke-14 Seniman terbatal dan tidak sah di sini hari ini.
Bagaimanapun, Zed akur dengan keputusan mahkamah itu dan tidak pernah kesal dengan apa yang telah diperjuangkan beliau di dalam Seniman sebelum ini.
“Saya bangga kerana apa yang saya buat sekarang ini tidak pernah dibuat mereka sebelum ini. Apa yang saya buat ni bukan untuk saya.
“Bagi saya benda baik yang saya dah usahakan ini kalau tidak diteruskan, ahli-ahli yang akan teraniaya,” ujar Zed.
Tambah Zed, dia berkhidmat di dalam Seniman sebagai sukarelawan demi membantu ahli-ahli Seniman.
Antara inisiatif yang telah dilakukan oleh Zed untuk ahli Seniman adalah seperti kemudahan Kad Diskaun 1Malaysia, Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), dan pelbagai lagi.
Apabila disoal berkenaan usaha untuk menyelesaikan isu tersebut diluar mahkamah, Zed menjelaskan pelbagai usaha telah dilakukan namun tiada kata putus.
“Kita memang sentiasa terbuka untuk bekerjasama, tapi dalam soal mesyuarat yang dia (Abu Bakar Omar) buat itu saya tidak dijemput.
“Kita dah buat macam-macam dah, tapi respond tak ada. Kita dah guna Lembaga Penasihat Seniman pun tiada maklumbalas,” jelas Zed.
Pada sidang media yang berlangsung di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu, lebih 50 orang ahli persatuan itu hadir dan ada antara mereka menitiskan air mata atas keputusan mahkamah itu.
“Saya sebenarnya sayang dekat mereka (ahli vateran) sebab mereka banyak menyokong saya dan mereka antara paling ramai turun apabila kita buat program,” kata Zed.
Tambahnya, ia menjadi satu tamparan kepada artis-artis muda dan dia tidak akan berundur untuk terus menggalakkan artis-artis muda bergiat aktif di dalam aktiviti-aktiviti Seniman.
Justeru, Zed menasihati mereka di luar sana yang tidak mengetahui berkenaan masalah dalaman Seniman supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi terutama persepsi negatif terhadap persatuan itu.
Oleh: HARITS ASYRAF
Foto & Video: RIZA RAZAK
Posting Komentar