Polis tahan rakan Sanjeevan 60 hari disyaki terlibat mengedar dadah

OLEH MUZLIZA MUSTAFA August 04, 2013  
Pihak polis mengesahkan rakan Pengerusi MyWatch, R. Sri Sanjeevan (gambar) yang berada dalam kenderaan sama ketika ditembak telah ditahan kerana disyaki terlibat dengan kes pengedaran dadah.

Pengarah Jabatan Narkotik Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata lelaki berkenaan akan ditahan selama 60 hari di bawah Akta Dadah Berbahaya.

Noor Rashid berkata kepada The Malaysian Insider, pihak polis telah cuba mengesan lelaki berusia 35 tahun berkenaan, namun dia berada di luar radar polis.
"Tangkapan ke atasnya hanyalah atas urusan dadah, dan tidak melibatkan kaitan dengan kes tembakan," kata Noor Rashid.

Lelaki berkenaan ditahan Sabtu lalu oleh pihak polis, beberapa jam selepas Sanjeevan ditembak di persimpangan berhampiran Taman Awana Indah, Bahau, Negeri Sembilan.

Sanjeevan  berada bersama rakannya itu dalam kenderaan BMW bewarna perak sebelum didatangi dua lelaki menggunakan motorsikal bewarna merah.

Beliau kemudiannya ditembak di rusuk dan menerima rawatan di Hospital Jempol sebelum dipindahkan ke Hospital Serdang.

Sanjeevan kini berada dalam keassan koma dan pembedahan mengeluarkan peluru akan dilakukan sebaik sahaja keadaannya mengizinkan. - 4 Ogos, 2013 TMI

Posting Komentar